Khutbah Jumaat sempena Hari Guru

31/10/2009

Dari isu zakat, isu pendidikan juga tidak akan dapat sirna untuk dijadikan sebagai bahan perbincangan terutama di kalangan para ulama, cendiakawan, pensyarah, guru-guru mahu pun masyarakat umum.  Saya amat tertarik dengan isi khutbah kemarin 30 Oktober 2009, antara lain membicarakan soal pendidikan bersempena dengan sambutan Hari Guru yang akan diadakan pada Khamis 05 November 2009 dengan bertemakan GURU BERKUALITI TERAS KECEMERLANGAN PENDIDIKAN.  Apa yang menjadi satu kebanggaan ialah mengenai matapelajaran Pengetahuan Ugama Islam (IRK-Islamic Religious KNowledge) telah dijadikan teras dalam Sistem Pendidikan Negara abad ke-21 (SPN 21).  Berbaloilah apa yang telah dibincangkan di dalam kuliah semester lepas di dalam kursus KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM.

Antara lain isi kandungan khutbah jumaat itu ialah:

1.  Mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam dijadikan sebagai matapelajaran teras di semua peringkat persekolahan.

2.   Kecemerlangan pendidikan memerlukan guru yang berkualiti untuk mendidik, mengajar dan membimbing anak bangsa kerana guru adalah elemen penting dalam menentukan mutu dan keberkesanan pendidikan.

3.   Guru yang berkualiti ialah mereka yang bertanggungjawab, berdaya saing, berwawasan, komited, dedikasi, prihatin, jujur, ikhlas, amanah dan bertakwa serta mempunyai sifat kepimpinan yang dinamik sebagai insan contoh kepada anak didiknya berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja.

4.  Guru hendaklah memiliki akhlak yang mulia dan menjauhi daripada sifat yang keji dan tercela kerana mereka mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam pembentukan diri dan sahsiah pelajar yang dididiknya.

5.   Akhlak bukan saja menjadikan mereka sebagai guru yang berkualiti bahkan juga dalam melahirkan pelajar yang berkualiti dari segi ilmu dan akhlak.

6.   Sememangnya amanah yang dipikul oleh seorang guru itu sangat besar kerana mereka bertanggungjawab untuk memperkaya pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

7.   Guru yang mempunayi minat dan iltizam dalam tugasnya akan sanggup menerima cabaran dan bersedia mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi kejayaan pelajar mereka.

8.   Guru juga sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pengajaran termasuk kemahiran teknologi maklumat (IT) dalam pengajaran sesuatu dengan keprluan dan perubahan zaman.

9.   Wajarlah kita letakkan taraf guru sebagai insan mulia sesuai dengan sumbangan jasa dan bakti mereka dalam mendidik kita semua.

 

Satu kebanggaan bagi diri ini menjadi seorang pendidik.  Segala ilmu yang dicurahkan adalah  amal jariah.  Satu penghargaan yang tak terhingga apabila bekas murid yang diajar masih mengingati gurunya yang sudah meniti usia senja.  Satu kebanggaan bagi diri ini lagi apabila hari ini saya telah menyaksikan siaran langsung majlis Konvokesyen UBD kali yang Ke-21.  Ramai bekas-bekas pelajar saya yang telah meraih segulung ijazah.  Bakti dan jasa guru sukar untuk diungkapkan melalui kata-kata.  Semoga khidmat bakti sebagai tenaga pengajar dapat diteruskan selagi umur masih dipinjamkan…Amin…


REZEKI

27/10/2009

Hari demi hari, tak terasa dateline untuk menyiapkan disertasi semakin menghimpit.  Semoga ia dapat disiapkan dengan lancar walaupun dugaan demi dugaan melanda.  Begitulah adat belajar, dugaan tak lekang melanda.  Dengan berkat doa, insyaAllah ia dapat diatasi dengan berlapang dada, tenang hati dan bertawakal kepadaNya…Amin..

Semalam ketika menunggu saat untuk menunaikan solat maghrib, tercari-cari jari ini salah satu majalah yang telah lama dibeli tetapi tak banyak kesempatan untuk membaca.  Mata tiba-tiba tertarik dengan satu artikel yang sangat signifikan, lebih-lebih lagi dengan isu zakat yang masih hangat  diperkatakan di negara Brunei Darussalam.  Tajuk yang penting ialah mengenai rezeki.  Sebahagian dari saranan dalam artikel tersebut telah pun dipraktikkan dan saya yakin akan keberkesanannya.  Semoga dapat dimanfaatkan ilmu yang akan dikongsikan.

Dalam surah Al-A’raf ayat 96, Allah swt menjelaskan keutamaan takwa dalam konteks dimurahkan rezeki, yang bermaksud, “Dan (TUHAN berfirman lagi), sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah KAMI akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.  Tetapi mereka mendustakan (Rasul KAMI), lalu KAMI timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka usahakan.”

Kemudian memperbanyakkan doa. Pendapatan boleh diistilahkan sebagai DUIT iaitu Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakal.  Jadikan empat elemen ini untuk merangsang kemahuan anda dalam membina pendapatan tambahan.

Seterusnya banyakkanlah sedekah.  Sedekah yang dikeluarkan hakikatnya berkurangan tetapi ia akan datang balik dalam pebagai bentuk yang tidak kita duga.  Allah swt telah berjanji melalui firman-NYA bahawa akan menggantikan apa saja yang didermakan di jalan-NYA.

Buatlah baik kepada ibu bapa, ia adalah anak kunci pada membuka pintu rezeki.  Redha ibu bapa semoga membawa pada keberkatan hidup.

Banyakkan istighfar. Dengan memperbanyakkan istighfar, Allah swt akan menurunkan rezeki kepada hamba-NYA itu.  Solat Dhuha dan rajin-rajinlah baca Surah Al-Waqiah.  Usah lokek untuk memberi haiwan makan dan usah menyiksa mereka serta bayarlah zakat.

Tidak kurang penting ialah sambung silaturrahim.  Nabi saw  bersabda. “Sesiapa yang ingin diperluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menjalinkan silaturrahim.” (Bukhari)

(Petikan dari Majalah “i” ms 53 bil 69 Julai 2008)


INSAF

17/10/2009

Pada jam 2.35pm saya membaca emel yang telah dikirim oleh teman saya.  Tergerak hati ini untuk mengongsikan isi kandungan emel tersebut.  Airmata ini bercucuran tatkala membacanya.  Timbul keinsafan di hati, sifat sensitif mula menerjah lubuk hati.  Betapa diri ini terlalu kerdil di hadapan Allah yang telah memberi rezeki kepada hambaNya.  Rupa-rupanya kemewahan yang dimiliki sebenarnya adalah hak orang lain sebagaimana zakat telah diwajibkan.  Khutbah jumaat semalam memberikan kesedaran dan keinsafan.  Isi emel ini ada hubungkait dengan khutbah semalam.  Semoga kita dan ahli keluarga terhindar dari memakan hasil zakat yang bukan hak. Renung-renungkanlah……..

SEMOGA JADI IKTIBAR…
 
Saya sangat mengkagumi kerjaya sebagai guru sekolah. Sebuah kisah yang saya paparkan ini saya ulangi dari kisah benar seorang guru beberapa tahun yang lalu.
Ceritanya:
Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.
Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untukdirotan . Airmata saja  yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.
Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.
Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.
Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.
Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.
"Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?"
Dia terkejut dan wajahnya berubah.
"Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu." Jawabnya
"Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?"
" Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu."
Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu, ........"
Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.
Cerita2 begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara2 berikut;
i. Solat sunat
ii. puasa sunat
iii. berzikir
iv. bersedekah
v. mengusap rambut anak yatim
vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain
vii. membantu orang susah

Kenangan

12/10/2009

Setelah lama ‘bercuti’ sekarang tibalah masanya untuk bekerja keras untuk menghabiskan sisa-sisa masa yang masih berbaki.  Adakah saya dapat menyiapkan disertasi dengan masa yang singkat ini?  Semangat dan kesungguhan yang kental, insyaAllah semuanya akan berjalan dengan lancar.

Dalam masa surfing, rangkaian harmoni tak lekang dari halwa telinga.  Kebetulan rancangan kenangan sedang ke udara.  Kenangan menggamit tatkala bersekolah di Brunei Preparatory School (BPS) sekitar tahun 1978-1980 bersama DJ yang bertugas.  Terima kasih kepada DJ kerana sudi menghubungi saya.  Kenangan sekolah tidak dapat dilupakan meski pun sekarang ni pun masih di alam “persekolahan’.  Ia akan menjadi kenangan yang tak mungkin dilupakan hingga ke akhir hayat.  Menuntut ilmu adalah ‘long life learning’.  Ia tak akan hapus selagi kita masih bernafas.  Semoga setiap kenangan yang menjengah dapat menjalinkan tali silaturrahim…Amin..


Kata Pujangga

13/08/2009

Bukti akal fikiran adalah melalui perbuatannya.  Bukti orang yang berilmu adalah melalui percakapannya.

Kata-kata hikmah yang diperolehi dari DJ Harmoni.  Terima Kasih moga dapat dimanfaatkan….


AMAL JARIAH

22/07/2009

Dua bulan blog ini tidak dikemaskini.  Selain dari kesibukan dengan keluarga dan menikmati cuti semester, sifat MALAS menyelubungi diri ini.  Betapa saya telah mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar kerana kelalaian dan kealpaan yang sengaja ‘diasuh’. Kesedaran mula timbul apabila semalam saya ditegur oleh seorang wanita setelah minum pagi dengan suami di salah sebuah restoran kegemaran.  Dengan kalimah salam, saya sambut salamnya dengan diiringi berjabat tangan meski pun saya tidak kenal siapa wanita ini.  Setelah kemusykilan saya utarakan, beliau memperkenalkan diri bahawa saya pernah mengajarnya di sekolah ugama pada tahun 1990 dan 1991.  Pada saat itu saya tidak dapat menggambarkan bagaimana perasaan saya ketika itu.  Perasaan bangga dan gembira dipancarkan kerana ada juga bekas murid yang masih mengingati diri ini yang telah jauh berubah terutamanya dari segi fizikal.

Pada 28 Jun 2009, saya menghadiri majlis perkahwinan.  Tanpa disedari saya duduk semeja bersama-sama seseorang yang lantang bercerita mengenai ibu bapanya yang belum balik dari bercuti ke Kota Kinabalu.  Saya amat-amati muka insan tersebut.  Rasa-rasanya saya pernah melihatnya tapi di mana? Mungkin beliau sedar dia sedang diperhatikan, tiba-tiba dia mengejutkan lamunan saya dengan panggilan ‘cikgu!’. Seperti biasa saya sudah lali dengan panggilan itu.  Tanpa berlengah-lengah, dia terus menuju tempat duduk saya dan terus mencium tangan saya.  Rasa terkejut, dia memeluk saya seperti dua insan yang sudah lama tidak bersua.  For sure, dia adalah bekas murid saya juga pada tahun 1991.  Satu penghargaan yang menjadi kebanggaan buat diri ini ialah apabila dia mengatakan sayalah guru yang mendorong beliau untuk rajin bersekolah agama.

Pada tahun 2007, semasa saya memberikan maklum balas kepada guru yang saya cerap, satu kejutan yang tak disangka-sangka apabila guru ini mengatakan bahawa dia adalah bekas murid saya dan kerana sayalah dia pandai mengaji al-Quran walaupun pada ketika itu dia sudah berada di darjah VI.  Sekarang ini beliau adalah salah seorang guru kanan al-Quran di sekolahnya dan lebih ‘alim dari segi fasahah, lagu dan tajwid dari bekas gurunya sendiri. Betapa kerdilnya diri ini.

Dari kisah-kisah yang terpapar bukan tujuan untuk menunjuk-nunjuk malahan menjadi pedoman dan iktibar buat diri saya sendiri.  Semangat untuk kembali berkhidmat sebagai tenaga pengajar begitu berkobar-kobar.  Semoga doa saya dimakbulkan Allah dan pengajaran yang saya sampaikan akan menjadi amal jariah untuk bekalan di akhirat nanti…amin…


DUGAAN

28/05/2009

Pagi ini satu slot motivasi dari Dato Dr Fadzillah Kamsah antara lain menyentuh mengenai doa.  Hamba yang diberi ujian dan dugaan oleh Allah adalah hamba yang disayangi.  Ini kerana Allah suka mendengar  hamba yang merintih dan berdoa kepadaNya.  Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin.

Pesanan:

Bila Allah cepat makbulkan doamu, maka Dia menyayangimu.

Bila Dia lambat makbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu.

Bila Dia tidak makbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.

Oleh itu sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaan pun…kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaanNya.


Education Cuts Never Heal

26/05/2009

Bekerjalah kerana itu tanggungjawab kita kerana

tiap waktu dibayar gaji tetapi jika tidak

menggunakan waktu yang diperuntukkan untuk

bekerja maka samalah kita berhutang wang dan

memakan duit haram. Tidak masuk syurga bagi

orang-orang yang berhutang samada

wang/perkhidmatan atau tanggungjawab.


Paradigma Ilmu

12/05/2009

JIKA KITA INGINKAN KEJAYAAN, MAKA KITA MESTILAH SANGGUP MENEROKA DAN BERJUANG BAGI MENCAPAI KECEMERLANGAN ILMU.  DENGAN ILMU SAHAJALAH KITA DAPAT MENGENAL KEBENARAN.


Exam fever

11/05/2009

Debaran demi debaran ku rasakan di  saat-saat  mengharungi medan perjuangan.  Langkah demi langkah kakiku memasuki ruang peperiksaan dengan pelbagai perasaan.  Gementar, kesejukan, kegelisahan…semuanya berbaur menjadi satu.  Apa yang penting keazaman dan semangat yang kental yang tak mudah luntur.  Keyakinan menjawab soalan perlu ditanamkan agar segala perasaan sirna walaupun jawapan lintang pukang.  Ku berdoa semoga beroleh kejayaan yang diidamkan beserta kawan-kawan seperjuangan, amin…  Relaks minda sebentar….

11) Lidah yang panjangnya tiga inci boleh membunuh manusia yang tingginya enam kaki.

12) Agama tidak pernah mengecewakan manusia. Tetapi manusia yang selalu mengecewakan agama.

13) Nafsu mengatakan perempuan itu cantik atas dasar rupanya. Akal mengatakan perempuan itu cantik atas dasar ilmu dan kepintarannya. Dan hati mengatakan perempuan itu cantik atas dasar akhlaknya.

14) Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam dimalam yang amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar dilihat.

15) Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

16) Seseorang yang bijak melahirkan kata-kata selalunya disanjung sehingga ia mula bercakap kosong

17) Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan.

18) Kekayaan bukanlah satu dosa dan kecantikan bukanlah satu kesalahan. Oleh itu jika anda memiliki kedua-duanya janganlah anda lupa pada Yang Maha Berkuasa.

19) Sahabat yang tidak jujur ibarat dapur yang berhampiran. Jikalau pun kamu tidak terkena jelaganya sudah pasti akan terkena asapnya.

20) Mengapa manusia gemar mencetuskan pertelingkahan sedangkan manusia itu sendiri dilahirkan dari sebuah kemesraan.