Dari isu zakat, isu pendidikan juga tidak akan dapat sirna untuk dijadikan sebagai bahan perbincangan terutama di kalangan para ulama, cendiakawan, pensyarah, guru-guru mahu pun masyarakat umum. Saya amat tertarik dengan isi khutbah kelmarin 30 Oktober 2009, antara lain membicarakan soal pendidikan bersempena dengan sambutan Hari Guru yang akan diadakan pada Khamis 05 November 2009 dengan bertemakan GURU BERKUALITI TERAS KECEMERLANGAN PENDIDIKAN. Apa yang menjadi satu kebanggaan ialah mengenai matapelajaran Pengetahuan Ugama Islam (IRK-Islamic Religious Knowledge) telah dijadikan teras dalam Sistem Pendidikan Negara abad ke-21 (SPN 21). Berbaloilah apa yang telah dibincangkan di dalam kuliah semester lepas di dalam kursus KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM.
Antara lain isi kandungan khutbah jumaat itu ialah:
1. Mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam dijadikan sebagai matapelajaran teras di semua peringkat persekolahan.
2. Kecemerlangan pendidikan memerlukan guru yang berkualiti untuk mendidik, mengajar dan membimbing anak bangsa kerana guru adalah elemen penting dalam menentukan mutu dan keberkesanan pendidikan.
3. Guru yang berkualiti ialah mereka yang bertanggungjawab, berdaya saing, berwawasan, komited, dedikasi, prihatin, jujur, ikhlas, amanah dan bertakwa serta mempunyai sifat kepimpinan yang dinamik sebagai insan contoh kepada anak didiknya berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja.
4. Guru hendaklah memiliki akhlak yang mulia dan menjauhi daripada sifat yang keji dan tercela kerana mereka mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam pembentukan diri dan sahsiah pelajar yang dididiknya.
5. Akhlak bukan saja menjadikan mereka sebagai guru yang berkualiti bahkan juga dalam melahirkan pelajar yang berkualiti dari segi ilmu dan akhlak.
6. Sememangnya amanah yang dipikul oleh seorang guru itu sangat besar kerana mereka bertanggungjawab untuk memperkaya pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.
7. Guru yang mempunyai minat dan iltizam dalam tugasnya akan sanggup menerima cabaran dan bersedia mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi kejayaan pelajar mereka.
8. Guru juga sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pengajaran termasuk kemahiran teknologi maklumat (IT) dalam pengajaran sesuatu dengan keperluan dan perubahan zaman.
9. Wajarlah kita letakkan taraf guru sebagai insan mulia sesuai dengan sumbangan jasa dan bakti mereka dalam mendidik kita semua.
Satu kebanggaan bagi diri ini menjadi seorang pendidik. Segala ilmu yang dicurahkan adalah amal jariah. Satu penghargaan yang tak terhingga apabila bekas murid yang diajar masih mengingati gurunya yang sudah meniti usia senja. Satu kebanggaan bagi diri ini lagi apabila hari ini saya telah menyaksikan siaran langsung majlis Konvokesyen UBD kali yang Ke-21. Ramai bekas-bekas pelajar saya yang telah meraih segulung ijazah. Bakti dan jasa guru sukar untuk diungkapkan melalui kata-kata. Semoga khidmat bakti sebagai tenaga pengajar dapat diteruskan selagi umur masih dipinjamkan…Amin…